Monday, September 14, 2009

GURINDAM MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnyaMelayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

1 comment:

Malenka Sri Elang said...

Sastra itu kalam,kuasa itu pena,
pendita itu guru agama,sebagai tata untuk acara, mengenal diri di alam abdi, sabda brahman sabda resi,kebenaran sastra hidup abadi,
dibicara halus serba terperinci, kebenaran tidak berubah bagi, barulah sang adi dikenal pasti,
memahami ilmu lurus dan rapi,
menjadi pelita di malam hari,
inilah guru yang sejati,
bukan hanya melafaz kata,
sudah tenggelam dilautan hakiki,
barulah sisalek dipimpin jati,
kelak ketemu yang abadi.

Aduhai sastrawan hai sastrawani,
sastra pani pasupita pati,
sastra ini anugerah illahi,
janganlah ia dijual beli,
simpanlah ia didalam hati,
sebatikan ia didalam diri,
moga diberkati sekelian wali,
malaikati adama pertivi.

Sastra abadi membentuk diri,
menjadi manikam sekalian sandri,
abadikan ia didalam dirimu,
jadikan ia pending hidupmu,
agar sejahtera perjalananmu itu,
menuju kepada yang satu.

Mantra dibaca didalam hati,
mengenal nafas wujud sejati,
ilmu jangan dijual beli
binasa rohani cacatlah diri.

alifa babiba tatata katamantra,
maujud itu kata yang nyata itu nyawa,takata tateta atata matatiga, cahyaku geliga rupaku wasesa.

manaka adika brahmana astaka,
kun itu raga sukma yang mahaesa,
tiada makna lidah berkata
selagi jiwa tiada gelora,
asyik itu tandanya dia
fana segala sekelian anggota.

Dibawa raga didalam dunia,
lidah berkata membawa makna,
indah dipuja raga dan ragam,
jauhari jua kenal manikam,
carilah pendi di kota pesantri,
bistari itulah tandanya ragi,
sastra dibaca didalam hati,
mencari hikmah pengenalan diri,
barulah dapat kata yang sakti,
menjadi bukti adanya diri,
ibarat timba mencari perigi,
hantu dan peri menunduk diri.

Diksa itu ilmu hakiki diri,
panahan hati disanubari,
ramai yang bingung tidak mengerti,
kononnya inilah ilmu yang pasti,
berwirid petang malam dan pagi,
memuji pencipta alam ini,
tiada diketahui asalnya diri,
hanya melangkah mengikut kaki,
tiada penghujung tiada paksi,
rendahnya diri bermegah hati,

hai salik kau tidak mengerti,tiada apa yang hendak dicari,kerana diri tiada bukti, wujud yang esa meliputi diri,nafsu sendiri menjadi saksi,atas jahil dialam ini.

Manalah bisa menembus qalbi,
selagi akal menghijab diri,
Makrifat tanda yang telah jadi,
bukan tarikat menghindar diri.

Jangan disangka wahdah didekati,
wahdiah belum dikenal rapi, Alam mana hendak dijejaki, pada dirimu tandanya bakti.bersatu dalam kelambu berahi,hilangnya salik tiada bukti.

Ingatlah pesan sang karana vahana,
tiada kata dialam bunia mengejar bayang kehujung dunia, patahnya hati hilangnya rasa,walau mata jauh saujana, dekat hati pada dunia.

Lidah wacana katamu suchi, hadirmu masih merenggang hakiki, kerana masih berahi duniawi, walau harta tidak dicari, anak isteri tiada diganti,kasih illahi tiada dirasai. Inilah hidup seorang hamba tiada ada tiada bertuan,

Bagai badai menghampar diri,
lautan hakiki tidak bertepi,
menjadi hina dipaksi diri, aib tidak terkata lagi, kerana lupa diri azali,kelak merana di hari nanti, barulah tahu nasibnya nanti,

Asalmu tiada, tidak mungkin ada,
Kalau ada jahillah diri,naraka mana tempatnya ganti, pabila mati menyerah diri,jangan dikesal masa berganti, tiada afdal perbuatan diri,jika diri masih berdiri, alamat sesat tak kesampaian nanti.

Inilah sastra kenalilah ia,
bukan ilmu dituntut dunia,
dimana saja didalam dunia,
adika aneka jauhar naraka.